Pages

Thursday, June 11, 2009

Surat Terbuka Kepada Presiden PAS


(Surat terbuka ini saya terima daripada seseorang untuk tatapan umum)

Assalamualaikum Yang Berhormat Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang,
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Saya amat mengkagumi kepimpinan Dato Seri dalam saf barisan Majlis Presiden Pakatan Rakyat, yang sama-sama dipersetujui oleh ketiga-tiga komponen parti iaitu PKR, PAS dan DAP. Setiap perkembangan perjalanan politik ketiga-tiga parti komponen yang menganggotai Pakatan Rakyat diikuti dengan penuh minat untuk menentukan cita-cita rakyat sebagaimana yang telah diterjemahkan dalam pilihanraya kedua-belas tercapai. Gandingan parti-parti politik dalam Pakatan Rakyat cukup mantap dan memberi keyakinan kepada kami rakyat dari segenap kelas dalam Malaysia ini, serta menaruh harapan yang tinggi, bahawa inilah bakal Kerajaan Malaysia yang diharapkan untuk menjadi pembela tempat bergantung harap keseluruhan rakyat Malaysia.

Parti Islam SeMalaysia (PAS) pimpinan Dato Seri dilihat menjadi tonggak utama dalam Pakatan Rakyat untuk melengkapkannya sebagai sebuah pasukan yang digeruni pihak lawan mahupun kawan. Peranan Dato Seri dalam Pakatan Rakyat sebagai faktor pengimbang dalam menegakkan amal makruf dan nahi mungkar meyakinkan lagi kepercayaan rakyat betapa bersungguh-sungguhnya usaha murni ini. Usaha murni yang dirintis oleh Almarhum Ustaz Fadhil Noor bersama Dato' Seri Anwar Ibrahim di awal gerakan Reformasi pada tahun 1998 telah menampakkan kejayaannya pada tahun-tahun kebelakangan ini.

Tetapi malangnya sejak akhir-akhir ini, Dato Seri telah memilih untuk mengadakan perhubungan dengan UMNO, yang selama ini Dato Seri sendiri selalu mencanangkan sebagai parti yang tidak boleh dipercayai sama sekali. Apakah faktor yang membuatkan Dato Seri memilih untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO dan membelakangkan rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat. Apakah Dato Seri merasakan perjuangan dalam Pakatan Rakyat selama ini tidak membuahkan sebarang hasil kepada perjuangan PAS, malah pada pandangan Dato Seri ianya memberikan musibah pula kepada PAS dan ahli-ahlinya. Kalau sekiranya Dato Seri mempunyai firasat yang perjuangan PAS dalam Pakatan Rakyat hanyalah sia-sia, apakah pandangan Tuan Guru Nik Aziz sebagai Mursyidul Am PAS telah diambil kira semasa Dato Seri memulakan langkah membuat perhubungan dengan UMNO untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan, sepertimana yang selalu Dato Seri war-warkan.

Saya kira Dato Seri perlu lebih berhati-hati dalam mengadakan perhubungan dengan UMNO yang mempunyai seribu satu muslihat jahat yang tersembunyi. Ingatlah pesanan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang sentiasa mengingatkan kita bahawa UMNO adalah parti politik yang mempunyai sejarah hitam dalam perjuangan PAS. Akhir sekali dengan rasa rendah diri saya bagi mewakili sebahagian besar pengundi pada Pilihanraya Umum Ke 12 yang lalu inghinkan perubahan dan mengharapkan amanah yang kami berikan kepada Dato Seri dan rakan-rakan dalam PAS dalam pilihanraya tersebut tidak disalahgunakan.

3 comments:

pria malaya said...

salam ya akhi..ana minta izin copy paste enta punya surat terbuka ni..

syukran..

kp cht ibol said...

yang paling penting kita tulis dengan perasaan takut berdosa dengan Allah. Yang berselisih mendapat pahala atas sebab dosa mengkomentar kita.
pakat-pakat tolong baca kenyataan Dato' Harissani dalam Majalah @ blog Milenia Malaysia ( dia kata TGNA sokong Pas bergabung dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan Perak / tolong saman kalau harussani salah ) siapakah pula yang Ustaz Ahmad Awang maksudkan dalam ucapannya dimukatamar baru ini , mungkinkah....TG..???

matradin said...

Assalamualaikum Sdr. kp cht ibol,

Mungkin benar apa yang didakwa oleh Dato' Harussani tentang persetujuan oleh Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) untuk menubuhkan Kerajaan Perak pada peringkat awal selepas keputusan PRU12 diumumkan, tetapi setelah diteliti dan diperhalusi secara mendalam berkemungkinan TGNA merasakan ianya memberi musibah kepada perjuangan PAS, maka ianya ditolak selepas daripada itu. Ini terbukti setelah keseluruhan pimpinan PAS memilih untuk menubuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat selepas PRU ke 12 yang lalu. Saya rasa kerja saman-menyaman ini bukanlah kerja ulamak, biarlah orang UMNO je yang buat kerja tu,

Wallahu'aklam